Ahli Jawatankuasa Pusat MIC (CWC) merangkap Ketua Biro Media Nasional, Siva Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Kecaman Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy tentang perancangan MIC mengadakan upacara doa di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengundang rasa tidak puas hati.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat MIC merangkap Ketua Biro Media Nasional, Siva Subramaniam, kenyataan Saraswathy dianggap hipokrit dan bermotif politik.

Menurutnya, MIC tidak mengadakan perhimpunan untuk agenda politik sebaliknya melakukan doa selamat bagi memastikan segala urusan terutamanya kes mahkamah berkaitan titah adendum di Mahkamah Rayuan akan berpihak kepada Najib.

“Saya hendak tanya beliau, adakah sudah lupa upacara doa oleh parti anda sendiri sebelum ini terutamanya untuk presiden kamu? Ingat ya, sejarah tidak akan lupa. Kita ada gambar untuk membuktikan perkara ini. Ketika itu anda pergi mana?

“Mengapa tidak terpanggil untuk kecam kononnya berdoa untuk pemimpin kamu itu adalah bermotifkan politik? Sudah-sudahlah. Sebagai seorang Timbalan Menteri Perpaduan, jangan cuba pecah belahkan perpaduan, keharmonian.

“Kita tidak mengancam sesiapa dengan perhimpunan aman damai seperti ini tetapi kenyataan dan tuduhan ‘mengarut’ daripada pemimpin seperti anda yang sebenarnya yang mengundang rasa tidak puas hati,” katanya dalam kenyataan.

Siva mengulas kecaman Saraswathy yang juga Naib Presiden PKR yang menggesa parti politik supaya menjauhkan aktiviti bermotif politik daripada tempat ibadat.

Kata Saraswathy, dirinya mengecam aktiviti bermotif politik yang dijalankan di kawasan kuil kerana ruang ibadat seharusnya tertumpu pada aktiviti spiritual, sosial dan komuniti tanpa dipengaruhi agenda politik.

Bagaimanapun, kata Siva, hakikatnya MIC tidak sesekali tunduk dengan kecaman tidak ‘bermoral’ sebaliknya akan meneruskan upacara doa dengan kehadiran ribuan ahli dan masyarakat setempat esok.

“Selama puluhan tahun kita mengadakan pelbagai program berkaitan agama, kepercayaan, kebudayaan serta solidariti tanpa sekulamit pun menjejaskan kesuciannya,” tegasnya.

Sebelum itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan hari ini mendedahkan partinya nekad meneruskan himpunan solidariti untuk Najib di kuil Batu Caves dan bukannya di Istana Kehakiman Putrajaya.

“MIC terus pegang kepada prinsip kami untuk mengadakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib tapi menukar tempat berhimpun. Ini bagi menunjukkan sokongan kami terhadap Najib tetap kekal sama.

“Kita tidak pernah batalkan, cumanya tukar tempat sahaja kerana kita tidak mahu menyusahkan ahli-ahli parti yang datang daripada Kedah sehingga Johor, kita tidak mahu susahkan mereka dengan sekatan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MIC teruskan solidariti terhadap Najib

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here