KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar akhirnya tampil memberi kenyataan baharu selepas tindakannya mengunci mulut selepas kelab itu berdepan pelbagai isu.
Usahawa kelahiran Kedah itu berkata, idea pembubaran Kedah pernah terlintas pada awal tahun lalu namun ditarik semula kerana legasi semua sebagai rakyat Kedah.
“Sebenarnya, saya telah diminta dan dinasihatkan membubarkan KDA FC sejak Januari 2024. Namun, saya memilih untuk ‘cuba’ meneruskan perjuangan KDA FC kerana ia adalah legasi semua sebagai rakyat Kedah.
“Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum saya berusaha terlebih dahulu dan Alhamdulillah, saya berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024 dan kelab dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025,” tulisnya di Facebook KDA FC.
Dalam kenyataan sama, Daud Bakar sempat menegaskan pemergian beberapa pemain adalah kerana masing-masing menerima tawaran lebih baik dengan tiada kudrat bagi pihak pengurusan menghalang penghijrahan itu.
Selain tiga yang dinyatakan di atas, beberapa tonggak Sang Kenari juga sudah berbuat demikian, iaitu Sony Norde, Habib Haroon, Irfan Zakaria, Fikri Che Soh serta Kalamullah Al-Hafiz.
Kehilangan kesemua mereka menyukarkan KDA FC memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super yang diburukkan lagi dengan tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengenakan pemotongan mata awal musim lalu.
Dalam pada itu, Daud Bakar turut sempat menyeru penyokong kelab itu untuk bersama-sama membantu di samping menegaskan dia akan menggembleng usaha demi kelangsungan pasukan.
“Bagi pihak saya, saya akan terus berusaha mencari jalan dalam mencari dana untuk menjelaskan apa yang tertunggak kepada semua mereka yang berjasa dan yang masih mampu bermain dalam serba kekurangan. Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab saya.
“Kalau anda ingin membantu, sila hubungi kami. Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama, dana serta sokongan yang mampu membantu KDA FC untuk terus berjuang demi maruah bola sepak negeri Kedah,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette