BANGI – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu yang hadir pada himpunan solidariti bersama Datuk Seri Najib Razak esok atas kapasiti individu perlu menanggung risiko sendiri.
Beliau berkata, ini kerana arahan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki adalah berdasarkan arahan Ketua Polis Negara untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu tersebut.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menasihati mana-mana bahagian atau cawangan UMNO agar tidak menjadi penganjur rasmi pada perhimpunan tersebut
“Kalau hadir secara individu kita serahkan kepada ahli UMNO untuk mengambil risiko kerana arahan yang dikeluarkan Setiausaha Agung (UMNO) adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara.
“Dan tentunya aspek keselamatan dan arahan itu mempunyai alasan tersendiri harus dipatuhi dan kita harap tidak ada penganjur-penganjur dari mana-mana bahagian atau cawangan yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan berkenaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Kuali Cafe @ UKM di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas apa tindakan UMNO sekiranya terdapat ahli parti yang akan hadir di di Istana Kehakiman Putrajaya esok.
Pada 3 Disember lalu, UMNO membatalkan Himpunan Solidariti bagi menyokong Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan presiden parti itu.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu selaras dengan prinsip menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai cadangan untuk memberi keampunan atau pengurangan hukuman kepada mana-mana banduan, serta arahan Ketua Polis Negara untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu tersebut.
“UMNO menjunjung hormat titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, menunda hukum dan meringankan hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai parti yang konsisten dalam memperjuangkan dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Parti, Asyraf Wajdi berkata, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan akan sentiasa menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda dalam isu berkenaan.
kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan itu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut. – MalaysiaGazette