Dr. Mohd Yadzil Yaakub

KUALA LUMPUR – Setiap individu mempunyai hak untuk menyertai mana-mana perhimpunan, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Yadzil Yaakub.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka itu berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghormati usaha rakan komponen Perikatan Nasional (PN), Pas untuk meneruksan himpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak ada perbincangan khusus berkaitan perhimpunan esok. Tiada menghalang untuk sesiapa hadir bersama demi menjunjung titah Yang di-Peetuan Agong dan memelihara perlembagaan negara serta kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya esok bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu titah adendum.

Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, UMNO membatalkan Himpunan Solidariti bagi menyokong Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan presiden parti itu.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu selaras dengan prinsip menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai cadangan untuk memberi keampunan atau pengurangan hukuman kepada mana-mana banduan, serta arahan Ketua Polis Negara untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu tersebut.

Sementara itu, Dr Yadzil berkata, himpunan yang akan diadakan di hadapan Istana Kehakiman esok adalah demonstrasi rakyat menuntut ketelusan daripada kerajaan mengenai titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu, membolehkan Najib menjalani tahanan rumah.

“Adendum ini titah Agong yang perlu dihormati dan dipatuhi. Jika benar ia wujud dan kerajaan gagal laksanakan, maka kerajaan dianggap derhaka terhadap Agong.

“Ini bukan soal siapa banduan yang menerima kelebihan; ini soal kewajipan kerajaan melaksanakan titah Agong.

“Jangan jadikan alasan titah Agong sebagai alat untuk kepentingan kerajaan tetapi apabila melibatkan kepentingan rakyat, titah Agong diremehkan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, Aidi Sham Mohamed hari ini berkata polis, akan melakukan beberapa sekatan jalan raya menghala ke Putrajaya susulan perhimpunan aman yang dirancang untuk diadakan esok.

Beliau menegaskan, pihaknya akan membuat pemeriksaan ketat terhadap semua individu yang akan memasuki Putrajaya dalam usaha memastikan tiada bahan larangan seperti senjata atau sepanduk yang ada perkataan atau unsur-unsur jelik, hasutan berhubung dengan perhimpunan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here