KUALA LUMPUR – Para penyokong Datuk Seri Najib Razak masih mempunyai banyak pilihan serta saluran untuk menyatakan sokongan serta solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu selain berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya esok.
Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, antaranya menerusi platform media sosial dan teknologi maklumat yang dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat serta memberi impak lebih besar berbanding perhimpunan aman.
Jelas Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, sekali pun tidak dibenarkan berhimpun secara fizikal di Istana Kehakiman namun ia tidak bermakna sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu tidak dapat ditunjukkan atau diteruskan.
Tambah beliau, keutamaan kini adalah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan diraja serta mematuhi undang-undang pihak berkuasa yang melarang sebarang bentuk perhimpunan.
“Titah Yang di-Pertuan Agong serta larangan pihak berkuasa tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pihak supaya tidak timbul isu menderhaka serta bertentangan dengan perundangan oleh pihak berkuasa.
“Tidak semestinya dengan tidak menyertai perhimpunan boleh digambarkan tidak bersimpati dan menolak menyokong keadilan buat Najib.
“Sokongan kepada Najib boleh diteruskan tanpa menyertai perhimpunan dan bekas Perdana Menteri itu juga kekal di hati penyokong dan rakyat yang menyedari mengenai sumbangan besar beliau serta pelbagai kecacatan kes beliau yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, tambah Mohamad Faisol, rakyat perlu melihat titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu terbabit sebagai satu seruan dan jalan penyelesaian kepada polemik yang timbul berhubung kefahaman serta penerimaan rakyat.
Ia juga, ujar beliau, perlu dilihat sebagai satu peringatan kepada rakyat untuk mematuhi dan menghormati bidang kuasa yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong sebagai pengimbang kepada keadilan dan ketelusan undang-undang dalam negara.
Ditanya berkenaan kemungkinan isu melibatkan Najib itu diambil kesempatan pihak tertentu khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapat keuntungan politik, Mohamad Faisol berkata, ia juga boleh dillihat dari sudut berbeza terutama dari aspek membangkitkan pemahaman dan kesedaran rakyat berhubung isu-isu tertentu.
“Kesungguhan parti-parti politik khususnya pembangkang memainkan isu melibatkan Najib ini dapat memberi kelebihan khususnya dari sudut memastikan pihak kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa serta menjadi saluran rakyat untuk menegur pihak kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, mana-mana parti politik seharusnya berhati-hati dalam memperjuangkan sesuatu isu supaya tidak melanggar batas etika dan pematuhan undang-undang sehingga boleh memberi ancaman kepada keselamatan dan keamanan negara.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa parti politik termasuk UMNO dan Pas akan menganjurkan himpunan solidariti di Istana Kehakiman, Putrajaya esok sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa besar beliau selama ini.
Susulan itu, Istana Negara menerusi satu kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.
Menurutnya, kuasa Seri Paduka Baginda untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut menggesa orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan mengenai hak perogatif Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan banduan. – MalaysiaGazette