KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui One Health Student Club (OHSC) baru-baru ini menganjurkan program kesedaran perubahan iklim bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tenom, Sabah, ke arah meningkatkan kesedaran komuniti mengenai isu perubahan iklim melalui pendidikan peringkat awal.
Program yang merupakan inisiatif global itu dianjurkan bersama Universiti Jember Indonesia; University of The Philippines dan Universiti Brunei Darussalam dengan ditaja oleh Asia-Pacific Consortium for Public Health (APACPH) Multi-countries Research Grand.
Menurut Penasihat OHSC, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad yang juga pengasas kepada organisasi Teach4Tomorrow, pemilihan daerah Tenom sebagai lokasi pertama adalah kerana potensinya untuk menjadi model kepada pelaksanaan program serupa di negara jiran.
Katanya program tersebut akan diperluas ke Jember Indonesia, Manila dan Brunei dalam masa terdekat.
“Kami percaya pada konsep melentur buluh dari rebungnya, di mana mendidik kanak-kanak sejak usia muda dapat membentuk kesedaran yang mendalam tentang perubahan iklim.
“Dalam program ini juga, OHSC telah melancarkan komik modul interaktif yang bertujuan untuk memberikan pemahaman yang mudah dan menarik tentang perubahan iklim,” katanya memetik laporan portal Sabah Media hari ini.
Turut serta dalam program itu ialah Pensyarah The University of Philippines, Prof. Madya Dr. TJ Robinson T. Moncatar; Pensyarah Universiti Jember, Pembantu Prof. Dr. Kurnia Ardiansyah Akbar dan Pensyarah Universiti Brunei Darussalam, Pembantu Prof. Dr. Roslinawati Mohd Roslan.
Tambah Zulkhairul Naim, dengan penyertaan aktif lebih 200 murid, guru, dan sukarelawan, program tersebut telah menunjukkan potensi besar dalam menyemai kesedaran perubahan iklim di peringkat akar umbi.
“Komitmen UMS melalui OHSC dalam melibatkan pelajar universiti sebagai agen perubahan telah membuktikan bahawa pendidikan mampu menjadi alat yang berkesan untuk menangani isu global.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam pendidikan berkualiti dan tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Tenom, Shamsudin Akil menzahirkan penghargaan atas penganjuran tersebut di sekolah berkenaan.
“Sekolah kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak luar, terutama untuk program yang membawa manfaat besar kepada murid.
“Kami berharap anak-anak ini akan membawa pulang ilmu yang diperoleh hari ini untuk disampaikan kepada keluarga mereka,” katanya. – MalaysiaGazette