KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang disyaki memandu secara melulu dan berbahaya di Jalan Seremban-Port Dickson, Mambau, Negeri Sembilan ditahan bagi membatu siasatan polis.
Keta Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya telah terkesan rakaman video berdurasi 38 saat memaparkan sebuah lori tipper yang dipandu secara melulu dan berbahaya, pada jam 4.20 petang kelmarin.
“Suspek telah berjaya dikesan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Seremban dan pemandu seorang lelaki telah diminta untuk tampil ke pejabat BSPT Seremban untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamad Hatta, lelaki berusia 65 tahun itu mengaku sebagai pemandu lori seperti dalam video tular tersebut dan dia ditahan bersama lorinya di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
Tambah beliau, suspek kemudian dibawa menjalani ujian saringan air kencing dan hasil ujian adalah negatif.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalam 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette