Tangkap layar FB rasmi Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Di sebalik amaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ahli parti itu perlu menanggung risiko sendiri sekiranya hadir pada himpunan solidariti bersama Datuk Seri Najib Razak esok, lain pula dilakukan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkongsi gambarnya berjoging di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya yang menjadi lokasi himpunan itu esok.

“Selamat petang Putrajaya…,” tulisnya ringkas di Facebook  rasminya lewat petang tadi dengan gambarnya berjoging berlatar belakangkan bangunan Istana Kehakiman.

Statusnya itu mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk memuji dan memberi sokongan kepadanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menasihati mana-mana bahagian atau cawangan UMNO agar tidak menjadi penganjur rasmi pada perhimpunan tersebut.

“Kalau hadir secara individu kita serahkan kepada ahli UMNO untuk mengambil risiko kerana arahan yang dikeluarkan Setiausaha Agung (UMNO) adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara.

“Dan tentunya aspek keselamatan dan arahan itu mempunyai alasan tersendiri harus dipatuhi dan kita harap tidak ada penganjur-penganjur dari mana-mana bahagian atau cawangan yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan berkenaan,” katanya mengulas apa tindakan UMNO sekiranya terdapat ahli parti yang akan hadir di di Istana Kehakiman Putrajaya esok.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama Najib, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan berkenaan susulan kenyataan Istana Negara Jumaat lalu mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Pengurangan hukuman itu hendaklah dikemukakan oleh banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Permohonan sudah dikemukakan kpd DYMM Agong sebelum ini…berapa kali nak kemuka kan permohonan? Kerajaan bgtau rakyat ada atau tidak Agong sebelum ini Al Sultan Abdullah titah DS Najib ditahan di rumah? Ada ke tidak? Tak payah lah berbelit2..rakyat muak laaaaa

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here