PUTRAJAYA –Â Kira-kira 10 bas membawa para penyokong Datuk Seri Najib Razak untuk mendengar Mahkamah Rayuan yang bersidang pagi ini bagi mendengar rayuan bekas perdana menteri itu agar beliau dibenar mencabar kewujudan titah adendum yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.
Difahamkan bas-bas itu dari seluruh pelosok Pahang namun jumlah penumpang yang dibawa tidak dapat dipastikan.
MalaysiaGazette difahamkan bas-bas berkenaan memulakan perjalanan dari Pahang malam tadi untuk tiba awal di Putrajaya.
Rata-rata mereka ditemui berkata, kehadiran mereka di perkarangan Istana Kehakiman bagi memberi sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Selain Pahang, MalaysiaGazette turut dimaklumkan himpunan itu turut disertai oleh penyokong dari Selangor, Pahang, Perak dan Kelantan.
Ada dalam kalangan mereka memakai baju-T ‘Team Najib Razak’.
Tidak kurang juga yang memakai mafla ‘Solidariti Bossku Najib Razak’ yang dijual kepada orang ramai seawal jam 5 pagi.
Sehingga berita ini ditulis, keadaan di sekitar Istana Kehakiman masih terkawal dengan baik oleh pasukan polis. – MalaysiaGazette