Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Presiden Nasional Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menuntut Kerajaan Perpaduan memberikan penjelasan secara telus kepada rakyat mengenai keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

“Peguambela Najib hari ini telah menyerahkan surat yang ditandatangani Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman, kepada Mahkamah Rayuan, yang menjadi bukti penting bahawa terdapat titah adendum yang membenarkan Najib menjalani hukuman penjara di rumah.

“Mengapa Kerajaan Perpaduan sejak awal lagi mengelak daripada isu ini? Apa sebenarnya yang disembunyikan?,” soalnya.

Dominic menegaskan, rakyat ingin tahu sama ada titah adendum itu sengaja “disimpan” atau hanya sebahagian isi kandung yang dipilih untuk diserahkan kepada Lembaga Pengampunan.

“Mengapa hanya hukuman dan denda dikurangkan, tetapi aspek menjalani hukuman penjara di rumah “tertinggal?,” tanya beliau lagi.

Lantaran itu, beliau menggesa Kerajaan Perpaduan supaya tidak memutarbelitkan fakta, atau mencipta naratif palsu kerana rakyat ingin tahu sama ada titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong benar-benar wujud, bukannya untuk menyokong mana-mana banduan yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Menurutnya, usaha mencari kebenaran ini adalah untuk mempertahankan institusi Raja, memelihara semangat Perlembagaan, dan memastikan hak asasi manusia dihormati.

Oleh itu, kerajaan diseru supaya tidak terus membuat tafsiran terpilih atau memfitnah pihak lawan.

Beliau secara sinis menyifatkan kerajaan pimpinan Anwar sebagai sebuah “Kerajaan Rashomon” yang sering gagal memberikan penjelasan jelas atau menyelesaikan isu secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Dominic turut mempersoalkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, yang sebelum ini mendakwa lampiran perintah pengampunan Najib hanyalah khabar angin.

“Mengapa fakta sebenar tidak didedahkan dan mengapa kenyataan yang mengelirukan diberikan kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here