KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang berputih mata apabila kerugian lebih RM1 juta, gara-gara terpedaya dengan pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi Instagram.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor telah menerima laporan di daerah Kajang berkait tipu pelaburan tidak wujud disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengadu merupakan warga tempatan berusia 50 tahun telah tertarik dengan iklan pelaburan menerusi platform media sosial itu.
“Mangsa tidak dijanjikan pulangan secara spesifik dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah dan pulangan yang lebih tinggi.
“Mangsa telah diberikan satu pautan untuk ke laman sesawang aplikasi UVKXE oleh suspek dan diajar cara menggunakan aplikasi tersebut.
“Mangsa telah melakukan transaksi kemasukan wang dari Oktober sehingga Disember 2024 dengan jumlah RM1,366,885 melalui 34 kali transaksi ke dalam 1 akaun bank berlain yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun katanya, mangsa hanya mendapat pulangan sekali sahaja iaitu sebanyak RM4,300 dari keseluruhan jumlah yang telah dilaporkan.
“Pengadu telah dimaklumkan suspek untuk melakukan pengeluaran dari aplikasi itu di mana dia hanya perlu menekan icon ‘withdrawal’ dan memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan.
“Kemudian wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun pengadu dalam masa 24 jam namun setelah menekan ikon tersebut, tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaunnya dan dia berasa tertipu sebelum tampil membuat laporan polis,” jelasnya. – MalaysiaGazette