KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan terdapat cubaan daripada Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melepaskan kontena dipercayai mengandungi e-waste di Westports, Pelabuhan Klang, tanpa punca kuasa yang jelas dan justifikasi yang wajar.
Unit Komunikasi Korporat EAIC dalam satu kenyataan berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat berhubung kemungkinan terdapat salah laku oleh pegawai JAS dalam kes itu pada Mei tahun lalu.
Sehubungan itu, tambahnya, EAIC telah menubuhkan satu Pasukan Petugas selaras dengan seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati, kontena-kontena yang dipercayai mengandungi e-waste tersebut masih berada di Westports, Pelabuhan Klang.
Ujarnya, siasatan lanjut juga menemukan beberapa ketidakaturan dalam kes itu antaranya kebocoran maklumat dalaman berkaitan pertukaran pengarah atau pegawai dan pengarah atau pegawai baharu akan melepaskan kontena-kontena tersebut.
“Pihak atasan JAS gagal mengambil tindakan berhubung isu kebocoran maklumat ini dan terdapat kelewatan penyelesaian kertas siasatan oleh JAS berkaitan dengan kontena-kontena tersebut yang juga berpunca daripada kelemahan penyeliaan.
“(Juga berlaku) kelewatan yang amat sangat mengenai pengendalian kes berkenaan boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan pencemaran alam sekitar tidak dapat dibendung dan dilindungi dengan segera,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, EAIC memutuskan untuk merujuk syor tindakan tatatertib diambil serta mengenakan hukuman yang sewajarnya terhadap pegawai-pegawai JAS yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Kumpulan Pengurusan Tertinggi melalui YBhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Turut disyorkan, menurutnya, supaya dikemukakan cadangan penambahbaikan Prosedur Tetap Operasi (PTO) JAS dan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) JAS kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam untuk tindakan selanjutnya.
“(Selain itu) memanjangkan dapatan siasatan dan pengesyoran bersama-sama dengan laporan EAIC kepada Ketua Setiausaha Negara,” katanya. – MalaysiaGazette