JOHOR BAHRU – Polis menahan empat individu selepas didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, menerusi Ops Hibur yang bermula pukul 12 tengah malam dan berakhir 4 pagi itu, polis turut menahan 32 individu.
“Seramai 32 individu berusia antara 20 hingga 53 tahun yang berada dalam pusat hiburan itu ditahan untuk dokumentasi dan ujian saringan awal air kencing yang mana empat daripadanya positif dadah, manakala yang lain dibebaskan.
“Antara yang ditahan juga adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang disyaki penjaga premis,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk monitor, power AC220, speaker, mikrofon antena, mikrofon, pelbagai wang tunai berjumlah RM1,855 dan empat resit perniagaan.
Katanya, empat pengunjung yang positif dadah methamphetamine, ketamin dan nitrazepam itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini.
Siasatan lanjut katanya, dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan dan Seksyen 6(2) Εnakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor kerana menjalankan pusat hiburan tanpa lesen.
Dalam pada itu, Raub berkata, polis akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya membabitkan penyalahagunaan dadah dan pusat hiburan tanpa lesen.- MalaysiaGazette