Kenderaan yang dipercayai membawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2025

PUTRAJAYA – Seorang hakim Mahkamah Rayuan mempersoal mengapa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak memfailkan afidavit balasan bagi menafikan kewujudan titah adendum seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril ketika membangkitkan perkara itu berkata, perayu (Najib) memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan titah berkenaan.

“Saya merasa terganggu kerana pihak responden (kerajaan) tidak mengemukakan afidavit balasan bagi menyatakan (pendirian) sama ada titah itu wujud atau sebaliknya,” ujar hakim berkenaan.

Hakim Mohd. Firuz mencelah demikian sewaktu Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah mewakili responden-responden dalam rayuan Najib untuk mendapat kebenaran mencabar kewujudan titah adendum.

Hakim berkenaan selanjutnya berkata, ketika prosiding sebelum ini, pihak responden memaklumkan mereka memerlukan masa untuk mengesahkan sama ada dokumen yang dikatakan draf tambahan itu dikeluarkan oleh pihak istana.

“Namun, di hadapan kami (panel bersidang), tiada surat daripada AGC atau mana-mana responden lain yang mempertikai adendum yang dikatakan itu dan ini menunjukkan seolah-olah kewujudannya diakui,” katanya.

Terdahulu, Shamsul berhujah, permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan titah adendum, difailkan berdasarkan spekulasi semata-mata.

Najib merayu kebenaran untuk mencabar kewujudan titah adendum yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.

Beliau merayu mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu merayu supaya permohonan semakan kehakimannya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya meritnya didengar dan diputuskan.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here