KUALA LUMPUR – Luruan monsun kuat dijangka memasuki rantau negara bermula pada 9 Januari dan berterusan sehingga 13 Januari 2025 yang berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur dan selatan Semenanjung dalam tempoh berkenaan.
Kawasan barat Semenanjung juga berisiko mengalami hujan berterusan sepanjang tempoh tersebut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, berikutan daripada luruan monsun kuat ini juga, perairan Laut China Selatan dijangka mengalami angin kencang dan laut bergelora.
“Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan laut. Kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan sebaik sahaja output model-model ramalan cuaca mencapai tahap keyakinan yang tinggi.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia. – MalaysiaGazette