KUALA LUMPUR – Pas menggesa supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanggungjawab susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini berhubung titah adendum melibatkan penahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan itu membuktikan kewujudan titah adendum tersebut dan sekali gus menunjukkan kerajaan tidak jujur serta memanipulasi fakta kerana menyembunyikan titah berkenaan.
“Tindakan menafikan kewujudan titah addendum ini mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dalam menangani isu keadilan dan hak individu. Ini bukan sahaja mencemarkan sistem kehakiman negara tetapi juga mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan negara.
“Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini juga membuktikan bahawa kerajaan telah memanipulasi fakta serta berusaha menutup kebenaran daripada rakyat.
“Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis keyakinan ini dan mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan segera,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Tambah beliau, penafian kewujudan titah adendum itu mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dalam menangani isu keadilan dan hak individu.
“Rakyat Malaysia diseru agar terus peka dengan perkembangan ini dan tidak membiarkan manipulasi politik menguasai sistem keadilan negara.
“Keutamaan perlu diberikan kepada memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan tanpa mengira latar belakang politik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, titah adendum disahkan oleh peguam Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berhujah di Mahkamah Rayuan pada hari ini.
Menurutnya, titah itu ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, wujud namun disembunyikan daripada umum.
Beliau mendedahkan, titah berkenaan diterima sendiri oleh anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar yang membolehkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebagai rekod, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Najib mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.-MalaysiaGazette