Allex Seah Shoo Chin

MELAKA – Peniaga dan penjaja makanan khususnya di kawasan tumpuan pelancong di negeri ini diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga khususnya makanan secara melampau dengan alasan harga ‘tahun baharu’.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin sebaliknya berkata, pemikiran sedemikian dikhuatiri akan menjejaskan kedatangan pelancong sekali gus menyebabkan pendapatan mereka juga merosot.

“Sempena 2025 ini, memang kita ada terima aduan beberapa kes berlaku kenaikan harga makanan khususnya di bazar-bazar pelancong termasuklah di Jonker Walk ada penjaja yang jual terlampau mahal.

“Sedangkan, harga bahan asas itu merupakan barang kawalan dan masih ada untung jika dijual pada kadar berpatutan supaya pelancong tidak serik untuk datang ke Melaka,” katanya.

Allex (tengah) meninjau kerosakan bumbung Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai, Limbongan, Melaka, yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau kesan kebakaran Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai, Limbongan, Melaka, di sini hari ini.

Allex turut mengakui ada segelintir peniaga menjadikan beberapa alasan untuk menaikkan harga, antaranya kesan peningkatan gaji penjawat awam mulai 1 Disember lalu serta kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari ini.

“Jika mahukan sektor pelancongan kita bertambah baik dan peniaga terus dilimpahi rezeki, cubalah pastikan harga jualan yang berpatutan.

“Tambahan pula tahun ini Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) tahun depan menyaksikan lebih ramai pelancong akan ke Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here