JOHOR BAHRU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kepada seorang bayi lelaki baru lahir yang ditinggalkan dalam kotak di sebuah kilang kek di Kempas di sini.
Pegawai Pembangunan Masyarakat Unit Pembangunan Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, Lily Norliyana Azfar Norli berkata, bayi berkenaan kini berusia empat bulan.
“Ketika ditemui di belakang sebuah kilang kek di Jalan Selasih 8, Kempas, Jalan Kempas Lama, 81200, Skudai, Johor, bayi berkenaan masih bertali pusat dan tidak berbaju dalam sebuah kotak.
“Tiada sebarang dokumen berkaitan bayi atau waris ditemukan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, bayi berkenaan ditemukan oleh seorang wanita tempatan berusia 25 tahun.
Katanya, wanita itu terdengar suara seperti bayi menangis sebelum terkejut melihat bayi berkenaan berada dalam kotak.
“Wanita itu bertindak menyelamatkan bayi itu sebelum dibawa pulang ke rumah serta membuat laporan polis,” katanya.
Lily Norliyana memberitahu, bayi berkenaan dinamakan sebagai Muhammad Raees Mikhail.
Jelasnya, berdasarkan laporan pemeriksaan ‘bone age’ daripada bahagian pakar kanak-kanak, poliklinik pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA), bayi itu kini berusia 4 bulan.
Bayi berkenaan ujarnya, ditempatkan di bawah jagaan sementara Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) di Kulai, Johor mengikut bawah seksyen 19 (2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris bayi berkenaan boleh menghubungi pegawai pelindung, Nur Aida Masturah Taib di talian 07-6622990 atau 011-21779224 atau boleh emel [email protected],” katanya.- MalaysiaGazette