PUTRAJAYA – Keluarga Datuk Seri Najib Razak menjunjung kasih kepada Sultan Pahang kerana berkenaan mengeluarkan surat pengesahan mengenai kewujudan titah adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Anak sulungnya, Datuk Muhammad Nizar berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Datuk Ahmah Khirrizal Ab Rahman kira-kira pukul 10.40 malam Sabtu lalu yang menyatakan bahawa Sultan Pahang yang juga bekas Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengeluarkan surat pengesahan tersebut.
“Perkara itu menunjukkan bahawa isu kewujudan titah adendum menjadi terang lagi bersuluh. Justeru tiada siapa dapat menyangkal dan mempersoalkan kewujudan titah adendum berkenaan.
“Jadi, kita bersyukurlah dengan keputusan itu. Alhamdulillah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung perkara berkenaan di sini hari ini.
Menurut Muhammad Nizar lagi, pihak-pihak terbabit tidak boleh menafikan bukti-bukti yang sahih kerana titah adendum itu memang wujud.
Namun beliau agak bersalah kerana Sultan Pahang sendiri terpaksa mengeluarkan surat untuk mengesahkan titah tersebut.
“Sepatutnya tak perlu pun. Tapi iyalah bila sudah macam ini,” akuinya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan di sini dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib mencabar Titah Adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Panel bersidang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan.
Keputusan majoriti dicapai oleh Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama-sama Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang.
Panel itu kemudian mengarahkan semakan kehakiman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes pada 13 Januari ini dan didengar di hadapan hakim berlainan. – MalaysiaGazette