Abdul Razak (dua kanan) Taqiuddin (dua kiri) dan kepimpinan Pemuda Amanah Johor menunjukkan salinan laporan polis terhadap Ahmad Fadhli di pekarangan IPD Kulai, hari ini

KULAI – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari sebagai menghasut dan boleh menimbulkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Johor, Abdul Razak Ismail berkata, kenyataan Ahmad Fadli itu juga boleh menggugat keamaman dan kestabilan negara.

“Kenyataan beliau boleh menimbulkan salah faham dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kebencian terhadap Sultan Johor. Kita mahu polis lakukan satu siasatan apa tujuan sebenar kata begitu.

“Nak sokong Datuk Seri Najib boleh, siapa-siapa boleh sokong tetapi jangan keluar kenyataan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan terhadap Ahmad Fadhli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda Amanah Johor, Taqiuddin Cheman dan barisan kepimpinan sayap berkenaan.

Kelmarin Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas menerusi hantaran dalam Facebook miliknya berkongsi ungkapan ‘Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. disergah biawak, digadai reban’.

Walaupun tidak jelas maksud di sebalik ungkapan itu namun ungkapan itu dimuat naik selepas UMNO membatalkan rancangan mengadakan himpunan solidariti untuk Najib di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, Pemuda Amanah Johor mendesak siasatan dilakukan terhadap Ahmad Fadhli mengikut undang-undang sedia ada bagi memastikan hukuman sewajarnya dikenakan.

Katanya, sebanyak 16 kawasan Pemuda Amanah di Johor akan membuat laporan polis berhubung perkara itu pada hari ini.

Beliau memberitahu, tiga daripadanya sudah pun selesai membuat laporan polis di kawasan masing-masing pada petang ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kiasan saya tidak sentuh Agong – Ahmad Fadhli

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here