PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Panel bersidang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan.
Keputusan majoriti dicapai oleh Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama-sama Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang.
Panel itu kemudian mengarahkan semakan kehakiman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk pengurusan kes pada 13 Januari ini dan didengar di hadapan hakim berlainan.
Ketika membenarkan rayuan tersebut, Hakim Mohd. Firuz berkata, alasan utama Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman berdasarkan fakta bahawa pemohon bergantung kepada keterangan dengar cakap atau khabar angin.
“Berdasarkan bukti baharu, kami mendapati isu khabar angin tidak lagi boleh dipertahankan.
“Dalam semakan kehakiman, pemohon hanya perlu menunjukkan bahawa dia mempunyai kes untuk dihujahkan berdasarkan fakta bahawa kepentingan atau haknya telah dinafikan.
“Permohonan ini bukan remeh atau menyusahkan. Oleh itu kami membenarkan rayuan dan mengarahkannya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif,” ujar Hakim Mohd. Firuz ketika menyampaikan keputusan majoriti.
Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bahawa semakan kehakiman perlu didengar di hadapan hakim berbeza kerana hakim terdahulu telah membuat keputusannya.
Najib merayu mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.-
Pada 3 Julai 2024, Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya. – MalaysiaGazette
6 jahanam yg sorokkan totah Agong ni patit disumbat ke penjara