Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman mengenai kesahihan kewujudan titah adendum hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu memberi harapan buat beliau, keluarga dan penyokong untuk terus memberi kepercayaan kepada perjuangan beliau bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

“Alhamdulillah, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang melahirkan rasa penuh kesyukuran setelah Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan proseding semakan kehakiman mengenai kesahihan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk beliau menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah.

“Di kesempatan ini, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang telah memperakukan kewujudan dan kesahihan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 sewaktu baginda masih lagi menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 juga membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakan beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berasas dan tidak bersifat khabar angin.

Wan Rosdy turut menegaskan, UMNO sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan menghormati proses kehakiman negara serta institusi diraja.

Justeru, beliau menyeru semua ahli UMNO untuk terus bersatu hati dan tidak membiarkan sebarang isu memecahbelahkan perpaduan parti itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keputusan 2-1: Najib dapat kebenaran cabar titah adendum

 

Titah adendum: Terang lagi bersuluh – Nizar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here