PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan dalam keputusan minoriti berpendirian, tiada peruntukan dalam undang-undang bertulis atau Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Lembaga Pengampunan dan pihak lain untuk mengesahkan kewujudan perintah berkaitan kuasa pengampunan.
Hakim Datuk Azizah Nawawi berpendapat, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal menunjukkan kewajipan sedemikian wujud dalam undang-undang yang membolehkan responden mengesahkan perintah pengampunan termasuk titah adendum.
Sehubungan itu beliau bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib untuk mendapat kebenaran memulakan kehakiman dalam usaha mencabar kesahihan titah berkenaan.
“Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan yang boleh dirayu di hadapan panel ini. Saya bersetuju dengan dapatan hakim berkenaan bahawa fakta yang dikemukakan dalam prosiding ketika itu adalah bersifat dengar cakap,” ujar beliau.
Oleh yang demikian beliau berpuas hati, rayuan bekas Perdana Menteri tiada merit dan sewajarya ditolak. Mahkamah tidak membuat sebarang perintah terhadap kos.
Hakim Azizah yang mengetuai panel tiga hakim bersidang, membacakan keputusan minoriti dalam rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, dua lagi hakim, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril mencapai keputusan majoriti 2-1 dan membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri.
Hakim Azizah turut menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong semakan kehakimannya.
Pada prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili responden berhujah, titah adendum tidak pernah dibincangkan atau dibangkitkan ketika Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari 2024.
Hujah beliau, sesatunya perintah utama yang ditandatangani dan dimeterai oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya melibatkan pengurangan separuh hukuman.
Shamsul berhujah, perintah yang dikeluarkan pada 2 Februari 2024 hanya melibatkan pengurangan kepada separuh hukuman terhadap Najib dan perintah itu sah dan muktamad.
“Perintah utama itu bersetuju untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda RM210 juta kepada RM50 juta,” hujah beliau.
Shamsul mewakili Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia.
Tegas Shamsul, walaupun kerajaan tidak menjawab afidavit terkini yang difailkan anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, mahkamah tidak seharusnya membenarkan bukti tambahan itu diterima kerana tiada usaha wajar dalam memastikan kesahihannya.
“Kami menyatakan bahawa permohonan untuk mengemukakan bukti baharu itu harus ditolak kerana apa yang cuba dilakukan Najib adalah untuk melangkaui perintah utama (yang hanya mengurangkan separuh hukuman).
“Tambahan pula, isu utama adalah perintah itu tidak boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman.
“Oleh itu, usaha untuk mengemukakan keterangan tambahan itu tidak seharusnya diterima oleh mahkamah, termasuk apa yang didakwa wujud dalam titah adendum, termasuk surat kepada Mohamad Nizar yang didakwa mendapat kebenaran Istana Pahang,” katanya.
Sehubungan itu, Shamsul berkata mahkamah harus menolak rayuan Najib dan menolak permohonannya untuk memaksa responden mengemukakan adendum yang didakwa kerana ia tidak memenuhi keperluan peruntukan undang-undang. – MalaysiaGazette