KUANTAN – Mayat seorang remaja lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Kampung Jerantut Feri, Jerantut dua hari lalu telah ditemui pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat mangsa, Azri Fahmi, 14 ditemukan pada pukul 7.37 pagi dalam keadaan terapung 800 meter dari lokasi dia terjatuh.
Terdahulu, remaja itu bersama dua rakannya dilaporkan memancing di Sungai Pahang di rumah rakit, Jalan Kampung Pedah, Kampung Jerantut Feri, Jerantut, sebelum dikatakan terjatuh dan hanyut dibawa arus deras.
Berikutan itu, Mohd Salahuddin mengingatkan masyarakat agar mengelak daripada melakukan aktiviti di air yang boleh mengundang bahaya kerana masih dalam musim tengkujuh.
“Melakukan aktiviti di air hendaklah mengutamakan keelamatan dengan memakai jaket keselamatan dan mengadakan aktiviti secara berkumpulan untuk mengelak perkara tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette