Mukesh Chandrakar

NEW DELHI -Mayat seorang wartawan India yang melaporkan dakwaan rasuah di negara itu telah ditemui dalam tangki septik di negeri Chhattisgarh.

Mukesh Chandrakar, 32, hilang pada 1 Januari lalu dan keluarganya membuat laporanĀ  polis.

Mayatnya ditemui pada Jumaat lalu di perkarangan kawasan pembinaan jalan di pekan Bijapur selepas polis mengesan telefon bimbitnya.

Tiga orang telah ditangkap berhubung kematiannya, termasuk dua saudaranya.

Sebuah badan pemerhati media telah menuntut siasatan menyeluruh.

Polis di daerah Bijapur tidak menemui apa-apa semasa tinjauan awal di lokasi penemuan mayat itu pada 2 Januari lalu.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut pada 3 Januari, kami menemui mayat Mukesh di dalam tangki septik yang baru berhampiran gelanggang badminton,” kata seorang pegawai kanan polis, merujuk kepada fakta slab konkrit telah diletakkan di atas tangki itu.

Polis menemui kesan cedera parah pada tubuh mangsa yang konsisten dengan serangan kekerasan tumpul.

Chandrakar, seorang wartawan bebas, telah melaporkan secara meluas mengenai dakwaan rasuah dalam projek pembinaan awam.

Dia juga mengendalikan saluran YouTube popular, Bastar Junction.

Majlis Akhbar India meminta laporan “mengenai fakta kes” daripada kerajaan negeri itu.

Ketua menteri negeri itu menyifatkan kematian Chandrakar sebagai “menyayat hati”.

Dalam catatan di X, beliau berkata, pasukan penyiasat khas telah dibentuk untuk menyiasat kes itu.

Media India melaporkan salah seorang yang ditahan adalah sepupunya.

Wartawan tempatan telah mengadakan protes menuntut tindakan tegas terhadap pelaku.

Serangan ke atas wartawan yang melaporkan rasuah atau kemerosotan alam sekitar bukan perkara luar biasa di India.

Pada Mei 2022, Subhash Kumar Mahto, seorang wartawan bebas yang terkenal dengan laporannya mengenai orang yang terlibat dalam perlombongan pasir haram, maut ditembak di kepala oleh empat lelaki tidak dikenali di luar rumahnya di Bihar.

Badan pemantau media Reporters Without Borders berkata, secara purata tiga atau empat wartawan dibunuh berkaitan dengan kerja mereka di India setiap tahun, menjadikannya salah satu negara paling berbahaya di dunia untuk media. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here