eksport halal
Tengku Zafrul l Aziz.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan agensinya akan melakukan yang terbaik untuk tahun 2025 bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam orde baharu dunia.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, Malaysia perlu memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 kerana ia adalah peluang keemasan yang hanya muncul sekali dalam sedekad.

“Perhatian sudah pasti akan tertumpu kepada Tonggak Ekonomi ASEAN yang diterajui oleh MITI, dengan agendanya akan dimuktamadkan bersama beberapa kementerian utama lain. Kita mesti memanfaatkan jawatan Pengerusi ASEAN untuk kelebihan ekonomi Malaysia.

“Pertumbuhan ekonomi yang bermakna mestilah inklusif dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk belia di semua wilayah.

“Ia mesti membolehkan akses adil kepada peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan wanita serta kestabilan politik bagi syarikat-syarikat korporat tetapi dengan kekayaan yang dikongsi secara saksama dengan pekerja dan bukan dengan mengorbankan alam sekitar,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Jelas beliau, ini adalah visi Kerajaan Madani dan MITI sedang berusaha gigih merealisasikannya dengan pelbagai inisiatif.

Antaranya membantu PKS mikro memulakan inisiatif kemapanan mereka dan menyokong usahawan wanita melalui Wanita dalam Perdagangan dan Industri (WITI) mungkin belum begitu ketara hasilnya tetapi inisiatif tersebut mewujudkan asas lebih kukuh untuk negara dalam jangka panjang.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM448 bilion dan potensi eksport bernilai lebih RM65 billion sepanjang tahun 2023 hingga 2024.

Pencapaian itu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya, ia merupakan hasil daripada kestabilan politik dan transformasi, kejelasan serta konsistensi dasar-dasar kerajaan Madani.

Untuk menyokong agenda pembaharuan negara, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah melancarkan serta melaksanakan pelbagai projek transformasi industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (#NIMP2030) pada 2023.

Ia diikuti oleh dasar berasaskan sektor khusus seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS) pada 2024.

Dasar mesra perniagaan dan pro-pertumbuhan itu telah memberikan panduan jelas kepada pelabur tentang keutamaan Malaysia serta peluang pengembangan masa depan.

Katanya, selain kejelasan dasar dan wawasan, Malaysia juga boleh memanfaatkan kedudukan strategik, sikap berkecuali geopolitik serta modal insan Malaysia yang kukuh.

Tengku Zafrul berkata, walaupun banyak yang telah dicapai, mengekalkan Malaysia pada trajektori reformasi dan pertumbuhan ini akan dapat memartabatkan negara secara mapan.

“Lihat sahaja bagaimana Malaysia kembali kukuh dalam radar pelabur global, menjana tajuk berita antarabangsa yang positif dengan menarik pelaburan besar selepas hanya dua tahun usaha bersepadu.

“Bayangkan apa yang boleh kita capai jika kita kekal fokus di landasan ini pada tahun-tahun akan datang. Jika ada yang masih ragu-ragu, biarkan mereka! Keikhlasan dan usaha gigih kita akan diterjemahkan menerusi peningkatan perdagangan dan pelaburan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here