KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat melaksanakan kajian pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS).
Menurut menterinya, Fahmi Fadzil, kajian itu bertujuan membentuk rangka sistem pengalamatan yang berautoritatif, seragam dan bersepadu di peringkat kebangsaan.
Apabila siap sepenuhnya dijangka dalam tempoh setahun, jelas beliau, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan dan bakal dijadikan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara.
“Kementerian Komunikasi melalui MCMC telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pemain industri geospatial tempatan dalam menjayakan misi NAS ini.
“Kerjasama ini bertujuan membangunkan perkhidmatan geospatial untuk alamat dan jalan yang dijangka memberi manfaat besar kepada sektor kurier, logistik, penyampaian awam dan pertahanan negara.
“Harapan saya, NAS bukan sekadar projek teknologi tetapi juga merupakan asas kepada transformasi perkhidmatan awam, pengukuhan ekonomi digital dan peningkatan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pertukaran dokumen perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.
Inisiatif Kampung Digital Melaka merupakan langkah strategik untuk memastikan setiap premis di Melaka dilengkapi dengan alamat yang lengkap dan sistematik.
Pada majlis itu, MCMC diwakili pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh manakala Kerajaan Negeri Melaka diwakili Setiausaha Kerajaan Negerinya, Datuk Azhar Arshad.
Pertukaran dokumen Inisiatif Kampung Digital Melaka itu turut disaksikan Fahmi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sementara itu, Fahmi berkata, NAS bakal meningkatkan kecekapan serta memberi kesan kepada pelbagai aspek seperti tindak balas kecemasan, penghantaran logistik dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Dengan pelaksanaan sistem NAS negara tidak lagi perlu bergantung kepada kaedah tradisional seperti mengenal pasti alamat berdasarkan warna bumbung rumah, nombor tiang elektrik atau tanda perbatuan.
“Usaha pembangunan NAS ini ialah langkah strategik kerajaan untuk melindungi kedaulatan data geospatial negara dengan memastikan data alamat diuruskan secara domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar,” ujarnya.
Mengulas mengenai kerjasama antara MCMC dengan Kerajaan Negeri Melaka menerusi inisiatif tersebut, Fahmi menyifatkan ia sebagai satu langkah signifikan.
Perjanjian itu, jelas beliau, dapat memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama erat dalam membangunkan teknologi serta infrastruktur digital yang mampan.
“Usaha ini pasti akan memberikan manfaat besar bukan sahaja kepada masyarakat setempat tetapi juga kepada kemajuan negeri Melaka secara keseluruhan.
“Semoga Kampung Digital Melaka menjadi model unggul yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette