JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai makanan Thailand melecur dalam kebakaran lapan buah kedai makan di Jalan Emas Putih 5, Taman Sri Puteri, Skudai di sini semalam.
Kebakaran tersebut menyebabkan keadaan di bangunan yang menempatkan deretan kedai makan tersebut kelam-kabut apabila peniaga dan pelanggan menyelamatkan diri.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Suraini Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.44 petang.
Susulan itu katanya, seramai 17 anggota dari BBP Bandar Skudai, BBP Iskandar Puteri dan BBP Larkin dikejarkan ke tempat kejadian kejadian.
“Mereka dibantu dua jentera fire rescue tender (FRT), sebuah compact fire rescue tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kebakaran membabitkan lapan gerai makan separuh kekal dan sebuah motosikal jenis Yamaha R15 dan memusnahkan 50 hingga 90 peratus gerai manakala memusnahkan 95 peratus motosikal itu.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.23 petang manakala dipadam pada pukul 7 petang hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seorang peniaga gerai iaitu lelaki berusia 37 tahun mengalami kecederaan di tangan kiri iaitu melecur akibat terkena minyak panas dan diberikan rawatan awal.
“Difahamkan ketika itu peniaga tomyam itu sedang membuat persiapan untuk memasak sebelum berlaku suatu letupan di lokasi berkenaan hingga dia terkena minyak panas dari kuali,” ujarnya.
Punca kejadian dan nilai kerugian katanya, masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, ketika kejadian selain pekerja, sekumpulan pelanggan juga berada di premis berkenaan.
“Hanya sesetengah premis beroperasi manakala yang lain masih belum dibuka ketika kejadian.
“Bagaimanapun semua peniaga mahupun pelanggan berjaya menyelamatkan diri dan hanya seorang mengalami kecederaan ringan di tangan,” katanya.- MalaysiaGazette