ALOR GAJAH – Seorang penunggang maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta yang hilang kawalan di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa Mohd Huzzaimy Ramli, 34, yang bekerja sebagai pemandu Jabatan Kerja Raya (JKR) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menuju ke Sungai Udang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila tiba-tiba sebuah Honda BRV dipandu lelaki berusia 45 tahun yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan bertembung dengan mangsa.
“Akibatnya, mangsa yang menunggang motosikal Jenis Yamaha 135LC meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan meminta saksi bebas yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette