PUTRAJAYA – Sepucuk surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan kepada Mahkamah Rayuan hari ini wujudnya titah adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah jelas membuktikan titah itu bukannya ‘hearsay’.
Lantaran itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib mempersoalkan siapakah sebenarnya yang bertindak menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 sejak setahun lalu.
Bahkan, Muhammad Shafee menyifatkan tindakan menyorok titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu adalah perbuatan jenayah dan pelakunya perlu dihukum.
“Sebenarnya kejujuran adalah tonggak sesebuah kerajaan dalam pemerintahan negara tapi dalam isu titah adendum ini, kejujuran sudah langsung tiada, ‘out of window’. Tidak ada ketelusan.
“Pelaku yang melakukan perbuatan ini sebenarnya telah melakukan kesalahan jenayah dan perlu dihukum.
“Sesiapa yang bertindak menyembunyikan titah ini sebenarnya mempunyai agenda untuk memastikan Datuk Seri Najib terus meringkuk dalam penjara selamanya. Ini juga perbuatan salah guna kuasa,” katanya kepada media hari ini.
Sepucuk surat yang merupakan dokumen baharu dalam kes rayuan Najib berkaitan titah itu bertarikh 4 Januari 2024, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Artikel berkaitan:
- Keputusan 2-1: Najib dapat kebenaran cabar titah adendum
- Keputusan Mahkamah Rayuan bukti titah adendum bukan khabar angin – Akmal
- Keluarga Najib junjung kasih kepada Sultan Pahang keluar surat titah adendum
Surat berkenaan memaklumkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Sehubungan itu, Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan titah adendum tersebut adalah wujud dan sahih.
Kata Shafee lagi, pihaknya akan membuat keputusan berkaitan tindakan menyorokkan titah adendum ini selepas selesai kes semakan kehakiman yang berjalan ketika ini.
Dalam pada itu, kata Shafee, Najib melahirkan rasa syukur dan lega selepas keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan kes Najib kepada Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan hari ini memulakan prosiding bagi mendengar rayuan Najib berhubung dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum, dengan pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mendengar hujahan daripada Shafee yang mewakili Najib.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu. -MalaysiaGazette