BUTTERWORTH – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya merampas rokok tidak bercukai bernilai RM847,616 dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di sini baru-baru ini.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, Operasi Taring Landai yang dilancarkan antara 3 hingga 5 Januari lalu itu turut membawa kepada tangkapan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 47 tahun.
“Bertindak atas maklumat dan risikan Unit Risikan Marin PPM Wilayah Satu, kita menyerbu premis tidak bernombor itu sebelum menemui 4,120 karton rokok yang dipercayai diseludup bernilai RM847,616.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek tersebut tidak dokumen perjalanan sah, dan mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pekembangan lain, Rusley berkata, pihaknya mencatatkan 2,168 kes tangkapan dengan nilai rampasan RM42.46 juta melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2024.
“PPM sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai dan penyeludupan barang salah terutama melalui jalan laut.
“Maklumat risikan akan diperkukuhkan dengan kerjasama pelbagai agensi dalam memastikan kedaulatan undang-undang negara terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette