PUTRAJAYA – Bukan kerana mahu sertai himpunan tetapi lebih kepada membalas budi dan jasa Datuk Seri Najib Razak yang banyak menabur bakti terutama di Pekan.
Abdul Aziz Ismail, 70, berkata, beliau bersyukur dapat mengikuti perkembangan kes bekas Perdana Menteri itu dengan pertolongan rakannya yang memandu lebih 500 kilometer membawanya dari Pekan ke Putrajaya.
Beliau yang berkerusi roda itu bertolak dari Pekan seawal pukul 12 tengah malam tadi bagi memastikan tiba pada awal pagi ini di Istana Kehakiman bersama rakannya, Jefri Ali, 58, yang menetap di Felda Chini.
“Tidak dapat balas budi Datuk Seri Najib Razak kepada kami di Pekan, terlalu banyak pembangunan dan kebajikan rakyat untuk kami.
“Ini cara kami membalas budi tanda kesetiaan rakyat kepadanya, saya pun tak sangka dapat hadir walaupun berkerusi roda tanpa bantuan Jefri.
Bagi Azrin Basri, 50, pula berkata, kesetiaan kepada bekas Menteri Besar Pahang ke-12 itu tidak tergugat biar pun pelbagai spekulasi berhubung kes Najib.
“ Bukan himpunan tapi hadir tanda sokongan, tadi kami perasan ada lima buah bas berpatah balik di sekatan jalan raya.
“Jasa Bossku (Najib) banyak, tidak ternilai kita kena berada di sini sebagai tanda sokongan. Walaupun beliau tidak nampak kami tapi kami nampak dia.
“Sebagai rakyat Malaysia kita bebas memberikan sokongan. Harapan kita harap dia dibebaskan,” katanya.
Norma Abdul Jalal, 70, pula berkata, dia bertolak pukul 4 pagi bagi hadir memberi sokongan sambil mengenakan t-shirt merah bertulis Demi Najib sebagai tanda sokongan.
“Datuk Seri Najib bekas ahli Parlimen kami dahulu datang secara sukarela guna duit sendiri. Saya mengenali beliau dari zaman menjadi Menteri Belia dan Sukan dan menjadi Menteri Besar Pahang pada usianya 23 tahun,” katanya.
Sementara itu, Datuk Mohd Zain Malik, 78, hadir di perkarangan mahkamah kerana mengenangkan jasa besar bekas majikannya semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang dahulu.
Anak jati Kuantan itu terpanggil hadir memberi penghormatan kepada Najib dan reda dengan apa jua keputusan yang ditetapkan oleh badan penghakiman negara.
“Saya tinggal di Putrajaya, saya dulu masa muda kerja dengan Bossku, maka dia boss saya dulu. Saya gembira tengok ramai orang Melayu di sini datang memberi sokongan kepada beliau,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.
Hari ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum menyokong permohonan itu.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja. – MalaysiaGazette