BUKIT MERTAJAM – Remaja perempuan yang dipercayai menikam ibu saudaranya dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai di sini pada Jumaat lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.
Suspek berusia 14 tahun itu akan berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pegawai penyiasat kes telah melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.
“Hari ini kita telah mendapat arahan daripada pihak pendakwaan untuk hadapkan suspek ke mahkamah esok,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Bukit Mertajam, Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan membenarkan tempoh tahanan reman terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki menikam ibu saudaranya pada Jumaat lalu, disambung tiga hari lagi selepas permohonan reman pertama terhadap suspek tamat hari ini.
BACA: Suspek tikam ibu saudara disambung reman tiga hari lagi
Media pada Jumaat lalu melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan polis selepas bertindak menikam perut ibu saudaranya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu berada di rumahnya bersama anaknya berusia lima tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.30 pagi sebelum pasukan penyiasat bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.
“Susulan itu suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya,” katanya.
Selain itu, remaja tersebut juga didapati positif dadah jenis methamphetamin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Remaja 14 tahun ditahan polis, disyaki tikam ibu saudara dengan pisau