KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengumumkan data terkini kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar termasuk daerah serta negeri dengan pelajar paling ramai ponteng yang boleh dianggap sebagai membimbangkan.
Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, tanpa data rasmi itu, adalah sukar untuk mewujudkan kesedaran semua pihak khususnya ibu bapa dalam menangani isu terbabit.
Sedangkan, kata beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM, isu ponteng sekolah adalah sesuatu yang kritikal kerana ia boleh menimbulkan pelbagai isu pendidikan lain sekiranya tidak ditangani secara serius.
Malah, beliau tidak menolak pendedahan berhubung sekitar 10,000 pelajar tidak hadir bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 seperti dinyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berawal daripada sikap ponteng sekolah.
“Ramai pelajar yang tidak hadir peperiksaan SPM sebenarnya telah mengalami masalah seperti sering ponteng sekolah atau mempunyai isu disiplin yang menghalang mereka daripada meneruskan pembelajaran.
“Selain itu, ada juga pelajar yang berhenti sekolah untuk bekerja atau terlibat dalam masalah peribadi dan mendirikan rumah tangga.
“Faktor-faktor ini turut menyumbang kepada keputusan mereka untuk tidak hadir peperiksaan SPM,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Sehubungan itu, tambah Anuar, isu ponteng sekolah tersebut perlu diselesaikan lebih awal yang mana sekolah dengan jumlah pelajar ponteng yang tinggi perlu dikenal pasti dan dibantu.
Ujar beliau, sekolah berkenaan perlu diletakkan Pengetua atau Guru Besar (PGB) serta guru yang cemerlang, selain diwujudkan projek khas untuk tingkatkan infra sekolah.
Dalam masa sama, tambahnya, hubungan erat antara ibu bapa dan pihak sekolah perlu diwujudkan menerusi pelbagai program khusus dengan peruntukan khas daripada KPM.
“Budaya positif juga perlu digalakkan di sekolah termasuk dengan mengiktiraf bakat dan kebolehan murid.
“Tidak semestinya semua murid akan minat dan cemerlang akademik, ada murid yang berbakat dalam muzik, sukan, seni lukis, nyanyian, inovasi, berkebun dan sebagainya.
“Kepelbagaian bakat dalam kalangan murid dan pelajar ini perlu diiktiraf,” katanya.
Tambah beliau, rasa sayang murid kepada sekolah dan keinginan yang tinggi untuk ke sekolah hanya akan timbul apabila mereka berasakan dihargai oleh pihak sekolah.
“Murid-murid yang dilabel ‘kaki ponteng’ pun manusia juga. Cari ‘soft spot’ mereka, memang tidak mudah tetapi berbaloi untuk diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette