KUALA LUMPUR – Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau yang juga ketua pembangkang berkata, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membuktikan ada pihak secara sengaja bertindak menyembunyikan titah adendum Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan itu ternyata mengkhianati prinsip berterus-terang yang sepatutnya dijunjung kerajaan.
Hamzah berkata, tidak mungkin seorang Perdana Menteri tidak mengetahui kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong sedangkan beliau bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuklah titah adendum.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan dan sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Panel bersidang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan.
Keputusan majoriti dicapai oleh Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama-sama Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang. – MalaysiaGazette