BAYAN LEPAS – Serbuan pasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya membanteras pengedaran dan penjualan air ketum di sebuah rumah teres di di Lintang Bayan 6 di sini hari ini membawa penemuan pelbagai senjata termasuk mesingan tiruan.
Dalam serbuan pukul 9 pagi itu turut membawa kepada tangkapan suspek lelaki tempatan berusia 47 tahun bersama isteri keduanya berumur 35 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan B. Nermaljit Singh berkata, serbuan ke atas kediaman suspek yang bekerja sebagai penghantar e-hailing itu pada awalnya menemui 600 bungkusan air ketum yang siap diproses untuk diedarkan kepada pelanggan.
Hasil soal siasat awal, suspek dikatakan menyewa rumah tersebut setahun lalu namun aktif menjalankan aktiviti pemprosesan dan pengedaran air ketum sejak tiga bulan lalu.
“Suspek mengaku mampu menjana pendapatan kira-kira RM12,000 seminggu dengan penjualan air ketum tersebut dan ia diedarkan di sekitar kawasan Teluk Bahang dan George Town.
“Turut dirampas peralatan yang digunakan bagi pemprosesan air ketum termasuk tong gas LPG, periuk serta sembilan tong air kosong,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Difahamkan ia adalah kali kedua suspek ditahan atas kesalahan sama selepas 2023 di Sungai Pinang.
Mengulas lanjut, Nermaljit berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis turut menemui 71 senjata berbahaya yang disimpan dalam sebuah bilik termasuk kerambit, keris, pedang samurai dan dua mesingan tiruan.
“Setakat ini suspek mendakwa kesemua barangan itu dijual secara dalam talian namun kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk elemen pembabitkan suspek dengan lain-lain jenayah.
“Kami akan buat siasatan lanjut kerana ia merupakan senjata berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan parah,” katanya. – MalaysiaGazette