PETALING JAYA – Pemuda DAP hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari susulan hantaran di media sosialnya baru-baru ini yang didakwa sebagai menghina institusi diraja.
Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Bahagian Subang, Muhammad Amirul Aiman Amin Mohd Basir berkata, hantaran Ahli Parlimen Pasir Mas itu pada 4 Januari lalu menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan pelbagai pihak.
“Hantaran yang dimaksudkan adalah seperti berikut; “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban”.
“Jadi siapa yang dimaksudkan dengan ayam dan biawak?” soalnya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Sea Park selepas membuat laporan polis hari ini.
BACA: Kiasan saya tidak sentuh Agong – Ahmad Fadhli
Dalam masa yang sama, beliau mendakwa hantaran tersebut digunakan Ahmad Fadhli sebagai kiasan ‘sindiran’ terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana ia dimuat naik susulan daripada titah baginda baru-baru ini.
“Sebab kenyataan tersebut dikeluarkan selepas daripada titah Agong (bertarikh 3 Januari 2025),” katanya lagi.
Ujar Muhammad, tidak wajar menyalahgunakan platform media sosial untuk menghina institusi diraja meskipun rakyat diberikan hak dan kebebasan untuk bersuara.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda DAP menggesa supaya pihak polis mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan tindakan Ahmad Fadhli.
“Kami memberi penghormatan kepada semua institusi yang membentuk negara kita dan akan mempertahankan intergriti serta kedaulatan mereka.
“Kami juga berharap agar kejadian ini menggalakkan semua pihak berhati-hati dalam penggunaan media sosial dan menghormati semua institusi yang berkuasa dalam negara ini,” katanya lagi.
Sebagai rekod, pada Selasa yang lalu, Istana Negara menerusi kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.
Menerusi kenyataan Istana Negara menjelaskan bahawa kuasa Seri Paduka Baginda untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji – Fadhli