PUTRAJAYA – “Memang ada titah yang wujud yang tidak dilaksanakan, isunya kenapa disembunyikan dan kenapa tidak dilaksanakan.
“Saya tidak mahu komen lagi sebab benda ini melibatkan Mahkamah Tinggi,” kata Datuk Mohd Nazifuddin Najib sebagai reaksi keputusan mengenai titah adendum melibatkan bapanya, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Ketua Bahagian UMNO Langkawi itu juga menjunjung kasih kepada Sultan Pahang kerana mencemar duli mengeluarkan surat berkenaan.
“Jadi kita berterima kasih kepada tuanku keluarkan surat dari istana bahawa adendum itu wujud, jadi dalam mahkaman adendum itu tidak boleh dinafikan lagi.
“Syukur alhamdulillah keputusan terbaik hari ini. Terima kasih yang menyokong dan membantu, kita sangat hargai dan terharu walaupun banyak ujian.
“Keputusan tadi membuktikan titah adendum itu wujud dan tidak boleh dinafikan lagi, tak boleh lihat ia hearsay lagi,” katanya di luar perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati lebih 5,000 penyokong Najib hadir dan setia menunggu sejak 5 pagi sehingga keputusan Mahkamah Rayuan diputuskan.
Terdahulu surat berkaitan pengesahan titah adendum berkenaan penahanan dalam rumah kepada Najib bertarikh 4 Januari yang dikeluarkan oleh Majlis Kesultanan Pahang mula tular.
Hari ini Mahkamah Rayuan telah mendengar rayuan Najib berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum menyokong permohonan itu.
Prosiding bagi mendengar rayuan Najib berhubung dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum disusuli pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mendengar hujahan daripada Shafee yang mewakili Najib.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Susulan itu Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Persoalannya Siapa Dalang Sembunyikan Titah Adendum Dari Najib?
Sembunyikan titah adendum penderhakaan terbesar
Titah adendum: Terang lagi bersuluh – Nizar
Redah dari Pekan ke Putrajaya kerana kenang jasa Najib
10 bas bawa penyokong Najib dari Pahang