KUALA LUMPUR – Sepucuk surat yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi penahanan di rumah tular di media sosial hari ini.
Surat daripada Majis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu itu ditujukan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar dan ditandangani Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Berdasarkan kandungan surat itu, Al-Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah adendum bertarih 29 Januari 2024.
“Sehubungan dengan itu, melalui surat ini, saya bagi pihak Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah dengan ini memperakukan bahawa Titah Adendum Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku termaksud adalah wujud dan sahih,” demikian seperti dipetik dalam surat tersebut.
Difahamkan, surat itu turut didedahkan dan dibacakan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Rayuan pagi ini dalam prosiding semakan kehakiman melibatkan Najib.
Mahkamah Rayuan pagi ini bersidang bagi mendengar rayuan Najib agar beliau dibenar mencabar kewujudan titah adendum yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.
Bekas Perdana Menteri itu merayu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. – MalaysiaGazette