Peguam yang mewakili bekas perdana menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menunjukkan surat dari Istana Pahang mengesahkan Titah Adendum wujud, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2025

PUTRAJAYA – Surat dari Majlis Kesultanan Pahang yang dikatakan menjadi bukti kewujudan titah adendum, boleh dijadikan keterangan tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak.

Demikian keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan ketika membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi mengesahkan titah itu wujud.

Surat bertarikh 4 Januari lalu diterima oleh anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar dan ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman.

Dokumen berkenaan yang dibacakan di Mahkamah Rayuan, mengesahkan perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menitahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah.

Surat berkenaan memperakukan bahawa titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu adalah wujud dan sahih.

Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril yang menganggotai panel tiga hakim bersidang berkata, keterangan itu tidak dikemukakan ketika Najib memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri ketika itu tidak berjaya mendapatkannya meskipun telah menghantar surat kepada keenam-enam responden bagi mengesahkan kewujudan titah berkenaan, namun tidak mendapat maklum balas.

“Meskipun mendapat layanan dingin daripada responden, perayu (pemohon) terus mencuba mendapatkan bukti kewujudan perintah itu daripada pelbagai sumber dalam bentuk afidavit.

“Hakim Mahkamah Tinggi bagaimanapun memutuskan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber ini adalah khabar angin,” ujar beliau dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Najib.

Hakim Mohd. Firuz bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli mencapai keputusan majoriti manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang.

Hakim Mohd. Firuz selanjutnya berkata, selepas penghakiman Mahkamah Tinggi, anak pemohon memperoleh salinan perintah tambahan daripada pejabat Sultan Pahang pada 17 Ogos 2024 dengan arahan tegas bahawa perkara yang sama tidak boleh digunakan tanpa perkenan Sultan.

Ujar beliau, pemohon kemudiannya memohon kebenaran Istana Pahang untuk menggunakan titah adendum dalam afidavitnya bagi tujuan rayuan yang kemudian dipersetujui oleh sultan pada 2 Disember 2024.

“Hakikat bahawa tiada afidavit daripada responden untuk menyanggah kewujudan mahupun kesahihan perintah tambahan meskipun pada 5 Disember 2024 memaklumkan panel ini bahawa mereka memerlukan masa berbuat demikian,” ujar hakim berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here