Marhafiz menunjukkan puluhan naskah al-Quran dan tafsir hadis yang langsung tidak dijamah api dalam kebakaran di Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai, Limbongan, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Ahli jemaah Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai, Limbongan di sini terkejut apabila mendapati puluhan naskah al-Quran dan tafsir hadis langsung tidak dijamah api dalam kebakaran surau itu awal pagi tadi.

Penduduk, Marhafiz Mohd Fathil, 24, berkata, dia dikejutkan dengan kebakaran kira-kira pukul 4.30 pagi ketika jirannya bertungkus lumus memadamkan api sementara menunggu bantuan bomba.

Puluhan naskah al-Quran dan tafsir hadis yang langsung tidak dijamah api dalam kebakaran di Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai, Limbongan, Melaka, awal pagi tadi.

“Waktu tiba di surau, saya lihat api sudah marak di bahagian siling ruang utama solat menyebabkan hampir keseluruhan bumbung hangus.

“Selepas bomba selesai memadam kebakaran, saya terkejut apabila mendapati ruang solat imam yang menyimpan puluhan naskhah al-Quran dan tafsir hadir langsung tidak terbakar.

“Saya anggap inilah keajaiban Allah yang memelihara kitab suci ini daripada dimamah api,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Allex (tengah) meninjau kerosakan bumbung Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai, Limbongan, Melaka, yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Sementara itu pengerusi surau, Markairon Mohd Fathil, 37, berkata, mujurlah kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu berlaku awal pagi ketika tiada jemaah di surau yang sudah berusia 17 tahun.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku di surau ini yang boleh memuatkan sehingga 400 jemaah di luar dan dalam pada satu-satu masa namun mujurlah ketika kejadian tiada jemaah di dalamnya.

“Kita juga berterima kasih atas kerpihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin yang turut turun padang meninjau kerosakan akibat musibah ini,” katanya.

Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, kos membaik pulih kerosakan dianggarkan tidak kurang RM200,000 dan akan membincangkan perkara itu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada Rabu ini.

“Saya harap urusan bantuan dapat dipercepatkan prosesnya dan sementara itu para jemaah di sini bolehlah menggunakan surau dan masjid berhampiran untuk solat berjemaah dan mengadakan aktiviti keagamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here