BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan tempoh tahanan reman terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki menikam ibu saudaranya pada Jumaat lalu, disambung tiga hari lagi.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula esok sehingga Khamis ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis pada jam 8.20 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN
Remaja 14 tahun tikam ibu saudara direman tiga hari
Suspek tak pernah agresif sebegini – Suami mangsa tikam
Media pada Jumaat lalu melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan polis selepas bertindak menikam perut ibu saudaranya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu berada di rumahnya bersama anaknya berusia lima tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.30 pagi sebelum pasukan penyiasat bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.
“Susulan itu suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya,” katanya.
Selain itu, remaja tersebut juga didapati positif dadah jenis methamphetamin. – MalaysiaGazette