Gambar hiasan

Oleh : Dr. Hafidz Hakimi Haron

ISU ucapan kebencian secara amnya bukanlah suatu masalah yang baharu di Malaysia, malahan sudahpun wujud sejak sekian lama. Ucapan kebencian secara asasnya merujuk kepada suatu keadaan dimana ia merupakan satu bentuk dialog yang bersifat silang budaya dimana akhirnya berpotensi untuk melemahkan sesuatu masyarakat yang terutamanya terdiri daripada berbilang bangsa dimana akhirnya mampu merencatkat perhubungan komunikasi sesama mereka.

Dalam pada masa yang sama, cetusan perkembangan literasi internet di Malaysia turut mengevolusikan sifat ucapan kebencian itu sendiri, dimana ia telah berkembang daripada terhad disebarkan melalui medium-medium tradisi, seperti penulisan buku, mahupun ucapan yang dilakukan secara oral, kepada medium dalam talian yang lebih sukar untuk dikawal selia kerana sifatnya yang tanpa nama (anonymous), berterusan (persistence), dan mengasyikkan (immersive). Data-data terkini juga menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kadar peratusan capaian internet diantara yang tertinggi didunia, iaitu 97.4% pada tahun 2024.

Dalam pada masa yang sama, Malaysia juga mencatatkan kadar purata masa harian yang dihabiskan didalam talian yang tertinggi didunia, iaitu 8 jam 17 minit bagi
setiap individu. Walaupun dapatan-dapatan ini boleh disifatkan sebagai satu perkembangan yang positif, namun ia juga mampu menjadi faktor penyumbang utama kepada penyebaran ucapan kebencian yang lebih serius terutamanya secara dalam talian.

Apa itu ucapan kebencian?

Secara asasnya, ‘ucapan kebencian’ tidak mempunyai satu takrifan sejagat dan khusus. Keadaan ini mendorong kepada usaha-usaha untuk menakrifkannya dalam konteks yang umum. Pertubahan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) misalnya mendifinasikan ucapan kebencian sebagai “apa sahaja bentuk komunikasi yang menyerang atau mendiskriminasi seseorang atau kumpulan berdasarkan faktor seperti agama, etnik, warganegara, bangsa, warna kulit, keturunan jantina atau faktor identiti lain” . Dalam konteks Kesatuan Eropah, ucapan kebencian ditafsirkan sebagai ”suatu kebencian, penghinaan, atau pun merendah-rendahkan martabat seseorang individu yang tergolong kepada sesuatu kumpulan ataupun komuniti”.

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Perkara 6.1 Kod Kandungan 2022, adalah boleh difahami bahawa takrifan skop ucapan kebencian yang digunapakai di Malaysia adalah tidak hanya terhad kepada unsur-unsur perkauman dan agama malah ianya turut mencakupi aspek-aspek lain seperti jantina, orientasi seksual dan ketidakupayaan. Walaupun begitu, realitinya isu-isu berkaitan kaum, agama, dan raja ataupun disebut sebagai isu 3R mendominasi dan menjadi punca utama kepada perdebatan-perdebatan di alam maya yang akhirnya mencetuskan ucapan kebencian. Isu 3R di Malaysia sudah tentu merupakan duri dalam daging dalam usaha untuk menyuburkan keharmonian di antara kaum dalam kalangan masyarakat setempat, yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kepercayaan.

Dalam pada itu, kekhuatiran juga timbul oleh kerana golongan belia di Malaysia merupakan segmen pengguna internet terbesar di negara ini, yang menjadikan kumpulan ini sebagai sasaran utama bagi tujuan diindoktrinasi (indoctrinated) dan diradikalisasi (radicalized) melalui ucapan kebencian dalam talian. Perkembangan ini disokong oleh satu tinjuan yang dilakukan oleh Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang mana ia mendedahkan bahawa terdapat bukti dimana kumpulan-kumpulan pengganas sudah mula mula menggunakan permainan video dalam talian bagi tujuan untuk merekrut generasi muda bagi menanggotai pergerakan mereka.

Dalam pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan pengganas ini turut menggunakan jaringan gelap (dark web) untuk menyebarkan dakyah-dakyah keganasan mereka melalui kempen-kempen kebencian. Malah, sesetengah sarjana turut menganggap bahawa ucapan kebencian itu sendiri adalah satu bentuk keganasan yang bukan bersifat fizikal. Menurut pandangan ini, berbanding dengan keganasan yang berbentuk fizikal, keganasan bukan fizikal bergantung kepada kerosakan emosi dan psikologi bagi mencapai matlamat yang sama seperti keganasan berbentuk fizikal.

Undang-undang berkaitan ucapan kebencian

Umumnya, hak kebebasan bersuara adalah dijamin dan diperakukan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun di peringkat nasional. Hal ini penting oleh kerana hak kebebasan bersuara adalah satu komponen yang amat penting didalam struktur sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Di peringkat antarabangsa, hak kebebasan bersuara diiktiraf oleh Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perkara 19 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Walau bagaimanapun, jaminan-jaminan ini adalah bersifat terhad dan tidak mutlak, Perkara 29 UDHR secara amnya mengizinkan sekatan perundangan boleh dibuat bagi menyekat hak kebebasan bersuara diatas alasan melindungi ketenteraman awam, prinsip moral dan kebajikan am. Malah Perkara 19(3) ICCPR turut mengatakan bahawa hak bebebasan bersuara boleh disekat bagi tujuan untuk melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Di peringkat nasional, hak kebebasan bersuara adalah dilindungi dibawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Seperti mana jaminan di peringkat antarabangsa, hak kebebasan bersuara di Malaysia turut boleh disekat melalui penguatkuasaan undang-undang sepertimana yang termaktub dibawah Perkara 10(2)(a), Perkara 10(4) .

Parlimen dibolehkan untuk menggubal undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara sekiranya sekatan tersebut dilakukan bertujuan untuk melindungi ketenteraman awam dan juga bagi mengelakkan isu-isu sensitif seperti hak keistimewaan bumiputera, dan juga kedaulatan raja-raja melayu dipersoalkan. Pada hemat penulis, sekatan ini sudah tentu turut mencakupi isu-isu yang berkaitan dengan ucapan kebencian, termasuklah isu 3R yang dinyatakan sebelum ini.

Sehingga kini, Malaysia masih belum mempunyai apa-apa undang-undang khusus yang mengawal ucapan kebencian, sama ada yang diserbarkan di dalam talian, mahupun yang menggunakan saluran konvensional. Oleh itu, undang-undang yang berkaitan dengan kawalan terhadap ucapan kebencian di negara ini dikawal selia oleh perundangan yang berasingan yang dikelaskan berdasarkan medium, perkara ataupun situasi yang berhubungkait dengan ucapan tersebut.

Di antara akta yang berkaitan adalah Akta Hasutan 1948, yang menjenayahkan apa yang disifatkan sebagai ’kecenderungan menghasut’. Di antara situasi yang dianggap sebagai mempunyai kecenderungan menghasut adalah menimbulkan perasaan permusuhan diantara kaum di Malaysia, dan mempersoalkan hak keistimewaan yang dilindungi

Perlembagaan Persekutuan. Namun Akta ini seringkali berdepan kritikan kerana ia dianggap sebagai legasi pemerintahan kolonial British. Dalam pada itu, ada juga yang menganggap akta ini bersifat menekan oleh kerana takrifan kecenderungan menghasut yang diberikan berdasarkan situasi-situasi ytang dinyatakan didalam Akta tersebut adalah bersifat longgar dan kabur. Dalam pada itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menerusi Seksyen 233 dan Seksyen 211 turut memainkan peranan penting dalam mengawal selia kandungan dalam talian, termasuklah dalam mengawasi kandungan yang berbaur ucapan kebencian.

Walaupun peruntukan–peruntukan ini tidak menyatakan secara jelas mengenai tegahan terhadap kandungan yang mengandungi ucapan kebencian, namun, dalam konteks ini, ucapan kebencian boleh diklasifikasikan sebagai kandungan jelik dimana ia harus dibaca bersama Perkara 6.1 Kod Kandungan 2022 yang mentakrifkan ucapan kebencian. Meskipun begitu, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat peningkatan yang ketara berkenaan dengan aduan berkaitan ucapan kebencian pada tahun 2023.

Menurut SKMM, sebanyak 2,858 aduan telah dilaporkan pada tahun tersebut, berbanding 422 aduan pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak enam kali ganda daripada tahun sebelumnya. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan tanda tanya berkenaan dengan keberkesanan perundangan sedia ada dalam membendung ucapan kebencian di Malaysia.

Lebih membimbangkan, moderasi kendiri yang diamalkan oleh penyedia-penyedia media sosial sedia ada juga dilihat tidak memadai dalam mengawal ucapan kebencian di dalam talian. Sebagai contoh, syarikat-syarikat media sosial dikritik hebat di United Kingdom kerana dianggap gagal dalam membendung ucapan kebencian di platform media sosial mereka sehingga tercetusnya rusuhan kaum baru-baru ini. Situasi ini pastinya menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab, integriti, dan liabiliti pengendali platform media sosial dalam memastikan kandungan di platform mereka selamat untuk kegunaan umum.

Kesimpulannya, ucapan kebencian dalam talian di Malaysia merupakan isu yang semakin serius dan tidak boleh diabaikan. Walaupun terdapat perundangan berkaitan yang boleh digunakan untuk mengawal ucapan kebencian, namun ianya jelas masih lagi tidak memadai dan harus diperkasakan bagi memastikan ucapan kebencian dapat dibendung, dan dalam pada masa yang sama hak kebebasan bersuara dapat dilindungi. Berturutan dengan itu, langkah-langkah yang lebih proaktif perlu diambil, termasuklah dengan memperkukuhkan mekanisme perundangan sedia ada, mempererat kerjasama antara pihak berkepentingan, dan mempromosikan pendidikan literasi digital yang berintegriti dalam kalangan masyarakat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here