KUALA LUMPUR – Telegram menjadi platform media sosial terbaharu yang diluluskan lesen untuk beroperasi di negara ini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kelulusan kepada Telegram itu diberikan pada 2 Januari lalu sekali gus menjadi platform media ketiga yang diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) selepas WeChat dan TikTok.
Sementara itu, bagi syarikat penyedia Internet Meta pula, syarikat tersebut masih dalam proses menyediakan dokumen untuk disemak oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) namun dijangkakan dapat diluluskan lesen dalam masa terdekat.
“Untuk platform media sosial X (dulu Twitter), mereka kini dalam peringkat untuk mengesahkan jumlah pengguna dan ia akan mengambil masa, jadi saya serahkan kepada MCMC untuk bincang dan uruskan.
“Hanya Google sahaja sebenarnya yang masih belum (membuat permohonan) jadi kita berikan sedikit masa lagi untuk diuruskan perkara ini dan saya telah minta MCMC untuk teruskan libat urus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pertukaran dokumen perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka di sini.
Tambah Fahmi, meskipun perbincangan masih berlangsung dengan Meta namun syarikat itu masih boleh diambil tindakan sekiranya terdapat kandungan di platform syarikat itu khususnya di saluran YouTube yang didapati melanggar undang-undang seperti mempromosikan judi online dan sebagainya.
Dalam masa sama, ujar beliau, selaras dengan penguatkuasaan Akta 588 ketika ini, syarikat penyedia Internet dan platform media sosial mempunyai tanggungjawab sendiri untuk menurunkan sebarang kandungan yang menyalahi undang-undang.
“Bila Akta Keselamatan Dalam Talian ini diwartakan dan dikuatkuasakan maka platfrom (media sosial dan penyedia Internet) dengan sendirinya perlu mengambil tindakan proaktif.
“Jadi kita tidak lagi perlu mengarahkan tetapi mereka perlu ambil tindakan (sendiri)…tidak lagi bergantung harap kepada MCMC untuk melaporkannya,” jelasnya.
Bermula 1 Januari lalu, Malaysia menguatkuasakan Akta 588 yang mensyaratkan penyedia Internet dan platform media sosial dengan jumlah pengguna melebihi lapan juta orang memohon lesen untuk beroperasi di negara ini.
Penguatkuasaan pelesenan itu penting bagi mengatasi pelbagai masalah dalam internet khususnya membabitkan buli siber, judi online, scammer dan sebagainya. – MalaysiaGazette