JOHOR BAHRU – Keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak wujud, membuktikan kerajaan sebelum ini tidak bersikap jujur dengan rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Bujang berkata, keputusan mahkamah itu sekali gus menyangkal semua kenyataan kerajaan yang selama ini menafikan kewujudannya.

Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru itu berkata, rakyat berhak mendapatkan penjelasan yang telus dan bertanggungjawab daripada pihak kerajaan.

“Sebagai pemimpin yang mendukung prinsip keadilan dan integriti, saya mengecam sebarang usaha untuk menyembunyikan fakta atau mempermainkan kepercayaan rakyat.

“Keputusan ini adalah satu tamparan kepada mereka yang cuba memutarbelitkan kebenaran demi agenda tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, rakyat tidak akan berdiam diri apabila ditipu oleh pihak yang seharusnya menjaga kepentingan mereka.

“Saya menyeru kerajaan untuk segera memberi penjelasan rasmi kepada rakyat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dalam memanipulasi isu ini. Keadilan mesti ditegakkan,” ujarnya.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pagi tadi membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.

Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkan bekas perdana itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Susulan itu Bersatu hari ini menggesa kerajaan untuk segera tampil memberikan penjelasan rasmi mengenai tindakan menyembunyikan kewujudan Titah Adendum.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, keputusan Mahkamah Rayuan memberi petunjuk bahawa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Jemaah Menteri terlibat dan Peguam Negara diragui.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here