PUTRAJAYA – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah di Mahkamah Rayuan hari ini, titah adendum yang ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, wujud namun disembunyikan daripada umum.
Beliau mendedahkan, titah berkenaan diterima sendiri oleh anak sulung Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar yang membolehkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Ujar Muhammad Shafee, Mohamad Nizar sendiri menerima dokumen itu namun tidak ditandatangani kerana ia merupakan rekod peribadi baginda.
Beliau kemudian merujuk sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu yang dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang memperakukan kewujudan dan kesahihan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Surat itu ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Hujah peguam itu, pihaknya sudah menghantar enam surat termasuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengesahkan kewujudan titah berkenaan, namun ia tidak dijawab.
Najib merayu mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Prosiding itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril. – MalaysiGazette