Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung ke atas Datuk Seri Najib Razak dan akan terus memperjuangkan keadilan untuk bekas perdana menteri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO turut menjunjung kasih kepada Sultan Pahang yang telah memperakukan titah adendum berkenaan penahanan dalam rumah Najib adalah wujud dan sahih.

“Perakuan kesahihan titah adendum ini yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Datuk Seri Najib yang telah dibuat oleh saya dan Datuk Seri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, sebelum ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, ⁠UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Najib selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Panel bersidang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah berkata, titah adendum yang ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 wujud namun disembunyikan daripada umum.

Ahmad Zahid juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here