TANGKAK – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan sebuah kereta ketika keluar dari simpang di Kilometer 1, Jalan Sialang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 8.40 pagi itu melibatkan motosikal jenis Demak EX90 ditunggang mangsa dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV berkenaan dalam perjalanan dari Jalan Sialang menghala ke Tangkak. Apabila sampai di tempat kejadian keluar motosikal ditunggang mangsa dari sebelah kanan secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan.
Roslan berkata, disebabkan jarak yang terlalu dekat MPV berkenaan tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal mangsa.
Mangsa yang berusia 73 tahun cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau berbahaya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada ketika keluar dan masuk simpang untuk mengelak perkara tidak diingini.- MalaysiaGazette