PUTRAJAYA – Kesemua warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensinya perlu menjadi duta dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai berhubung peranan yang dimainkan oleh kementerian itu.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ia bermula dari semua jabatan tidak kira peringkat jawatan perlu mengambil peranan tersebut agar segala usaha yang hendak dijayakan akan mencapai matlamatnya.
“Saya nak cakap beginilah, 15,000 warga KESUMA kita semua kena jadi duta KESUMA. Jadi, kita sebagai duta mempromosikan perkhidmatan KESUMA, membantu menaikkan nama KESUMA dan memberikan penerangan.
“Walauapun ia bukan bidang kuasa kita (sesuatu perkara), bukan dalam jabatan kita atau agensi kita, kalau boleh, kita beri penerangan supaya orang faham.
“Bayangkan 15,000 orang warga KESUMA di luar sana memberikan penerangan, memberikan pencerahan, saya yakin hujung tahun ini KESUMA akan menjadi kementerian yang terbaik dan cemerlang,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025, di kementeriannya di sini hari ini.
Hadir sama pada pada majlis itu timbalanya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof.
Mengulas lanjut lanjut, Steven Sim berkata, warga KESUMA tidak boleh sekadar hanya memendam rasa sebaliknya perlu menaikkan nama kementerian itu dengan cara mempromosi perkhidmatan yang disediakan.
Malah masyarakat juga perlu diberikan informasi yang betul terhadap pernan dan tanggunjawab yang dimainkan oleh KESUMA.
“Macam isu EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kepada warga asing, pekerja asing, ini kesuma macam-macam. Walaupun pasal isu EPF ini ia di bawah kementerian yang lain tapi ada yang bertanya.
“Bukan itu saja, tapi kita nak jamin dalam memberikan informasi betul, kenapa kerajaan ini melakukam dasar ini dan apa statusnya dasar ini,” ujarnya.
Sementara itu, Steven menggesa agar KESUMA dapat mempergiatkan lebih banyak latihan kemahiran kepada pekerja-pekerja tanpa memberikan banyak alasan.
Tambahnya, KESUMA komited menyediakan pelbagai program latihan dan kursus sejajar dengan peruntukkan dari pembentangan Belanjawan 2025 bagi tujuan latihan dan peningkatan kemahiran pekerja agar lebih berdaya saing.
Usaha berkenaan dirancang sejajar dengan keperluan industri dan memastikan pekerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang dinamik.
“Kita harus merancakkan serancak-rancaknya latihan kemahiran. Jangan bagi alasan, pekerja kita tak boleh beri gaji tinggi sebab mereka tidak ada kemahiran.
“Jangan bagi alasan, tak boleh melabur di Malaysia, tak ada bakat-bakat kemahiran, kita tak cukup engineer tak cukup ini, tak cukup itu…jangan bagi mereka alasan.
“KESUMA kita harus bangkit dan melakukan tugas kita dengan sebaik-baiknya,” tegasnya. – MalaysiaGazette