KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta mengesan seorang remaja perempuan dikenali Nurkhairah Hawabillah Abdul Latif berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang pada 5 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa kepada remaja itu pada jam 10.12 malam semalam.
“Berdasarkan laporan, remaja terbabit merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu menetap di Sungai Pelek, Sepang bersama keluarganya.
“Sebelum menghilangkan diri, mangsa tidak sebarang masalah dengan keluarga dan perhubungan baik dengan ibu bapa namun dikesan hilangkan diri pada Ahad lalu sekitar jam 10.30 malam.
“Nurkhairah Hawabillah dilihat memakai baju sejuk berwarna kelabu, seluar jeans berwarna hitam serta bertudung hitam dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, berikutan itu kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) dan usaha mengsesan remaja itu sedang giat dijalankan.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Fizal Sulaiman ditalian 013-3029027,” ujarnya. – MalaysiaGazette